Pemain pertahanan Harimau Malaya Dion Cools telah dipilih sebagai pemain pertahanan terbaik bagi bulan Januari dalam kejohanan Liga 1 Thailand.
Dion Johan Chai Cools yang berusia 26 tahun kini bermain bersama kelab Buriram United. Beliau yang juga merupakan pemain utama skuad kebangsaan berjaya menyesuaikan dirinya dengan cepat selepas berpindah dari Eropah ke Asia beberapa bulan lalu.
Dion merupakan pemain yang dilahirkan di Kuching, Sarawak. Untuk pengetahuan semua, bapanya adalah orang asal Belgium manakala ibu Dion adalah orang Malaysia berasal dari Kuching.
Dion pernah bermain dengan kelab Brugge pada tahun 2015-2020. Beliau berjaya bermain sebanyak 81 kali dengan 7 jaringan berhasil dilakukan. Bukan itu sahaja, pemain pertahanan ini turut bermain dengan Midtjylland, ZUlte Waregem dan Jablonec di Eropah.
Mendapat kepercayaan ketua jurulatih Buriram United, Dion tidak mempersia-siakan kepercayaan yang telah diberikan. Beliau berjaya mengawal dengan kawasan pertahan kelabnya.
Sehingga kini, Buriram United berjaya mengekalkan saingan tanpa kekalahan dengan kini mereka berada di ranking no 1 liga Thailand. Dalam 17 perlawanan Buriram berjaya menang 14 perlawanan dan 3 seri tanpa kekalahan.
Buriram juga hanya melepaskan 13 jaringan gol ke gawang sendiri. Sudah pasti Dion antara watak penting dalam mengekalkan Buriram sebagai pendahulu liga Thai.
Liga Thai kini menjadi tumpuan peminat tanah air apabila terdapat beberapa pemain terkenal negara berada di negara tersebut. Antara pemain yang sedang bermain di Liga Thailand adalah Safawi Rashid.
Dalam kempen Piala AFF 2022 baru-baru ini Dion antara pemain yang tidak disenaraikan oleh pengendali skuad Harimau Kim Pan Gon. Semoga kehadiran Dion di Liga Thai memberikan minit permainan yang lebih banyak dan secara tidak langsung dapat mengekalkan prestasinya untuk bersama skuad Harimau Malaya akan datang.
Sebelum ini nama Dion Cool turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab selatan tanah air Johor Darul Takzim.