HomeViral'Saya Menggeletar Nak Teruskan Memandu' - Pemandu Wanita Tampil Bersuara Kongsi Kejadian...

‘Saya Menggeletar Nak Teruskan Memandu’ – Pemandu Wanita Tampil Bersuara Kongsi Kejadian Sebenar

” Saya serahkan kepada pihak polis, biar mereka yang siasat.”

Demikian kata-kata ringkas pemandu wanita yang menjadi mangsa pembuli jalan raya, ketika diminta mengulas mengenai video tular membabitkan dirinya.

Hanya mahu dikenali sebagai Mieya, wanita berusia 25 tahun itu berkata dia tidak dapat berkongsi butiran kejadian dengan lebih lanjut memandangkan kes berkenaan sedang disiasat oleh pihak polis.

Namun Mieya menafikan cara pemanduannya membahayakan pengguna jalan raya yang lain ketika itu.

” Pasal saksi cakap (kereta hampir masuk curam), saya tak boleh komen. Saya dah ceritakan semuanya yang berlaku kepada pihak polis.Biar mereka siasat.

” Ketika itu, tiada benda (kemalangan) pun berlaku. Cuma kereta saya tak ada dashcam. Rakaman itu saja bukti yang saya ada.

” Apa yang boleh saya katakan, kalau boleh, biarlah sama-sama give and take. Kita pun tahu Jalan Tapah-Cameron Highlands macam mana. Kalau tak boleh beri kerjasama, jangan salahkan orang pula,” ujarnya.

Mengimbas kembali apa yang berlaku pada petang Isnin (semalam), Mieya berkata dia bersama adiknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Saujana Utama, Sungai Buloh selepas menziarahi seorang rakan di Cameron Highlands.

” Ketika itu sekitar pukul 5.30 petang. Selepas dilontar kata-kata kesat dan dikasari, saya memang trauma. Bahkan adik saya juga trauma.

” Menggeletar saya nak teruskan pemanduan. Adik pula tak boleh memandu sebab masih sekolah menengah. Alhamdulillah selepas selamat tiba, kami buat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama.

” Kepala saya berpinar juga lepas kena pukul… tapi syukur tak cedera. Tapi saya dan adik demam selepas pulang. Memang saya trauma sangat-sangat sebab ia kejadian pertama saya dibuli.

” Kekasaran yang dia dah buat itu beri kesan… dia tak boleh kasari saya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, video memaparkan Mieya dikasari seorang pemandu lelaki berbaju merah, menjadi tular di laman sosial.

Difahamkan, lelaki berkenaan bertindak samseng ekoran mendakwa Mieya memandu secara berbahaya.

Tidak sekadar menghamburkan kemarahan dengan disusuli perkataan kesat, lelaki itu juga dilihat menunjal kepala Mieya sebanyak dua kali sebelum berlalu.

Video itu dirakam oleh adik wanita tersebut yang duduk di kerusi penumpang hadapan, sebelum dimuat naik di Facebook.

Sementara itu dalam perkembangan terkini, pemandu lelaki berkenaan sudah diberkas polis lewat petang Selasa, dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk tindakan lanjut.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dikatakan akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Sumber:mstar

RELATED ARTICLES

Most Popular

Recent Comments