Dalam kalangan peminat bolasepak tempatan sedang rancak memperkatakan bahawa Harimau Malaya bakal menerima pengurus pasukan baru.
Antara nama dikaitkan untuk menjadi pengurus pasukan Malaysia adalah pemilik kelab Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Idris atau lebih dikenali dengan panggilan TMJ.
Berdasarkan kepada kenyataan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, beliau tidak menolak kemungkinan untuk TMJ menjadi pengurus baru pasukan Harimau Malaya.
Menurut Datuk Hamidin, sekiranya perkara itu benar maka beliau sendiri akan bertemu dengan baginda sultan bagi membincangkan perkara terbaik buat pasukan Harimau Malaya pada masa depan.
“Saya ada ternampak beberapa gambar tular mengatakan bahawa TMJ bakal menjadi pengurus pasukan Harimau Malaya, tetapi itu hanyalah pandangan sebahagian peminat bolasepak tanah air dan juga penulis-penulis di alam maya. Jika ada hasrat (untuk menjadi) pengurus kita akan bincang dan saya akan bawa perkara ini di dalam perhatian semua exco FAM bagi memutuskan, jadi saya minta peminat untuk tidak terlalu membuat spekulasi.”
Sekiranya perkara ini datang dari mulut baginda sendiri, maka saya akan berjumpa dengan baginda bagi perbincangan lanjut.Namun buat masa ini, perkara ini hanyalah spekulasi daripada peminat bolasepak tanah air. Kita semua inginkan yang terbaik buat pasukan negara dalam kempen Piala Asia tidak lama lagi.
Saya yakin dan pasti semua pihak mahu yang terbaik buat pasukan negara. Jadi saya tidak menolak sebarang kemungkinan untuk sesiapa sahaja tampil membantu pasukan negara.
Untuk pengetahuan semua, sebelum ini TMJ telah menawarkan Stadium Sultan Ibrahim sebagai tempat yang boleh digunakan pasukan Harimau Malaya sementara “home” HM di Stadium Bukit Jalil siap untuk digunakan.
Bukan itu sahaja, TMJ juga merupakan individu penting dan banyak membantu pasukan Harimau Malaya. Jadi sudah pasti ramai berharap agar baginda menjadi pengurus pasukan negara agar mampu membawa pasukan negara ke arah yang lebih baik seperti kelab baginda.